Luahan Hati, Rozana Misbun- 'Awie perlu bertaubat dulu!'

Luahan Hati, Rozana Misbun- 'Awie perlu bertaubat dulu!'

SEJAK berjaya mendapatkan hak jagaan ke atas ketiga-tiga anaknya bersama penyanyi Rock, Awie iaitu Putra Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rezzki dan Putri Qasseh Antasha,

Luahan Hati, Awie perlu bertaubat dulu! – Rozana Misbun
Luahan Hati, Awie perlu bertaubat dulu! – Rozana Misbun
Rozana Misbun yang merupakan bekas isterinya nampaknya sudah mula punya kekuatan untuk bersuara demi haknya sebagai seorang ibu.

Buktinya, kenyataan yang dikeluarkan Awie kepada akhbar Sinar Harian semalam yang memintanya supaya memulangkan semula apa yang telah diamanahkan kepadanya demi kebajikan anak-anak, membuatkan adik kepada aktres Haliza Misbun ini berasa sedikit berang.

Jelas Rozana Misbun, apa lagi yang Awie ingin timbulkan sedangkan pihak mahkamah telah pun membuat keputusan bahawa hak penjagaan sepenuhnya telah diberikan ke atasnya. Apa lagi yang Awie tidak puas hati?

Rozana juga turut mempersoalkan beberapa perkara yang telah ditimbulkan oleh Awie. Jom ikuti luahan hati Rozana Misbun selanjutnya seperti yang dikongsikan bersama Murai.

MURAI: Soal tiada pendapatan tetap yg ditimbulkan Awie?

ROZANA: Sebagai bapa, memanglah menjadi tanggungjawab Awie untuk menyediakan makan pakai serta persekolahan anak-anaknya. Jadi tak perlulah dia nak pertikaikan saya ini berpendapatan tetap ataupun tidak! Samada anak-anak berada dalam jagaan saya atau dia, dia tetap wajib melunaskan tanggungjawabnya sebagai bapa seperti yang dituntut dalam Islam.

Sebelum berkahwin dulu, saya sudah terbiasa berdikari malah menjalankan perniagaan sendiri bersama rakan. Hanya setelah berkahwin dengan Awie, saya terpaksa melepaskan semua komitmen kerana perhatian 110% wajib saya tumpukan kepadanya sebagai suami serta keluarga yang baru kami bina ketika itu.

Bayangkanlah, dalam tempoh empat tahun, saya hamil ketiga-tiga anak saya dalam jarak waktu yang dekat dan rapat. Manakala anak-anak tiri saya pula ketika itu sedang membesar dan perlukan perhatian. Walaupun dikekang dari bekerja jauh sekali bersosial dalam tempoh 9 tahun berkahwin, jiwa berdikari yang dah sebati dalam diri ini menjadikan saya tidak gentar untuk kembali mencari nafkah untuk diri sendiri. Saya bersedia menjadi ibu tunggal, Insyaallah ada rezeki saya untuk anak-anak.

MURAI: Tentang soal kebajikan anak-anak dan ingin ‘mengajar’ anda sepertimana yang disebutkan Awie?

ROZANA: Kalau Awie benar-benar ikhlas memikirkan kebajikan anak-anaknya, dia tidak akan tergamak mengenakan injunksi yang menghalang saya dari mendekati anak-anak yang masih kecil dan memerlukan kasih sayang, belaian serta perhatian dari seorang ibu. Awie sendiri yang sebenarnya menyebabkan emosi dan mental anak-anak saya terganggu dengan ‘perpisahan mengejut’ selama 7 bulan dari ibu mereka ini yang tidak pernah berenggang dari mereka sejak kelahiran mereka ke dunia.

Kalau betul pun dia nak ‘mengajar’ saya, banyak lagi cara lain yang tidak memudaratkan emosi, mental dan fizikal saya sebagai seorang wanita yang tercipta dari tulang rusuk lelaki yang bengkok. Kalau dia berniat untuk membuat saya terseksa akibat terpisah dari anak-anak, ketahuilah bahawa anak-anak sebenarnya yang lebih menderita.

MURAI: Tentang saranan Awie supaya anda bertaubat?

ROZANA: Alhamdulillah, terima kasih kerana mengambil berat.Tapi sebelum nak suruh orang lain bertaubat, eloklah Awie bermuhasabah dirinya dulu. Janganlah asyik mendabik dada dengan rezeki yang melimpah ruah sebab mungkin itu ‘Istidraj’ dari Allah!

MURAI: Menurut Awie, dia tidak pernah bangkitkan soal cerai? Bagaimana isu ini boleh timbul?

ROZANA: Sampai sekarang saya pelik dengan teka-teki ini. Kalau ikut logik akal, dengan tuduhannya yang saya ni pengamal ilmu khurafat dan berbomoh sana-sini, tidak amanah serta tuduhan-tuduhan lain yang melondehkan maruah saya di hadapan 1Malaysia, kenapa dia masih memilih untuk tidak ke arah itu (penceraian)? Kenapa masih mahu kekal memperisterikan saya yang ‘hina’ ini sedangkan semua yang berkaitan tentang saya, buruk di matanya?

MURAI: Menurut Awie anak-anak lebih mahukan dia daripada ibu mereka, komen anda?

ROZANA: Dalam tempoh injunksi yang Awie kenakan saya melalui makhamah sebelum ini, saya ditegah dari berhubung dengan anak-anak walau dengan apa cara sekalipun! Awie boleh saja menyuntik kebencian dalam diri anak-anak terhadap saya selama saya tiada di depan mata mereka selama tujuh bulan dan ketika itu, apa daya saya untuk menghalangnya?

Kalau saya ni busuk hati dan anak-anak pula berada dalam jagaan saya, saya juga boleh memilih untuk meracun pemikiran mereka supaya bencikan daddy mereka kalau saya mahu. Tapi saya tidak akan berbuat demikian menyedari kesan psikologi yang tidak baik pada anak-anak nanti. Mengikut buku psikologi kanak-kanak yang saya baca, anak-anak yang sedang membesar, perlukan keseimbangan dari segi kasih sayang dan perhatian dari ibu dan bapa. Jangan fikir mereka masih kecil dan tak tahu apa-apa! Sebenarnya, anak-anak kecil dapat merasai pergeseran dan ‘aura negatif’ antara ibubapa mereka cuma tak pandai meluahkannya saja.

MURAI: Anda punya apa-apa pesanan terhadap Awie?

ROZANA: Saya tahu kenyataan bahawa hak penjagaan anak-anak yang kini tidak lagi dimonopoli olehnya seorang tetapi secara bersama dengan saya, pahit untuk dia telan. Tetapi Awie harus belajar untuk menerima kekalahan dan ketepikan egonya yang sebesar gajah itu! Setelah injunksi terbatal. saya berhak untuk membawa anak-anak keluar, mahupun bermalam dengan saya pada bila-bila masa.

Sekiranya ada halangan lagi dari dia selepas ini, saya akan bawa ketidakadilan ini ke muka pengadilan. Saya sudah terlalu lama bersabar dengan Awie dan tak rela lagi dibuli! Apa yang saya mahu sekarang ini supaya dia berhenti mendedahkan di media tentang pergolakan antara kami kerana saya yakin orang ramai pun dah naik muak! Buatlah apa yang patut. Sahkan dulu pernikahan kami di Malaysia dengan segera mengikut undang-undang.

Dan kalau betul mahukan sangat hak penjagaan kekal anak-anak, mohonlah penceraian selepas itu melalui Makamah Syariah dan kemudian barulah permohonan hadhanah kekal dapat kita bersama-sama failkan. Saya pun dah bersedia untuk berjuang ke arah itu, Insyaallah. Dan saya mohon pada Awie, tolong hentikan tohmahan terhadap saya! Kalau benar dia sayangkan Putra Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rezzki dan Putri Qasseh Antasha, dia tidak akan sama sekali mengaibkan ibu mereka ini yang telah bertarung nyawa demi untuk melahirkan mereka, zuriat dari benihnya sendiri.



Sumber :Bernama

Post a Comment

Previous Post Next Post