Tumpang kasih kakak tiri, untuk meneruskan kehidupan..

Tumpang kasih kakak tiri, untuk meneruskan kehidupan..

“Saya sedih setiap kali rakan sekolah bercerita tentang ibu dan ayah kerana saya sudah kehilangan mak dan tak lagi tinggal sebumbung bersama ayah,” luah anak kedua daripada tiga beradik dengan linangan air mata.

Tumpang kasih kakak tiri, untuk meneruskan kehidupan..
Tumpang kasih kakak tiri, untuk meneruskan kehidupan..
Noraini Abdullah, 14, berkata, hanya doa yang mampu dikirimkan kepada arwah ibunya yang telah kembali menghadap Ilahi hampir tiga tahun lalu, selain gambar sebagai pengubat rindu.

Menurutnya, dia bersama kakak yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan adik yang berumur tujuh tahun hanya mampu menumpang kasih adik-beradik tiri, selain bergantung harap kepada mereka selepas bapanya berkahwin lain.

“Kadangkala kami tak makan di sekolah apabila kakak tiri tak ada duit dan ayah juga tak ada duit untuk diberikan kepada kami.

“Tapi kami tetap ke sekolah dan insya-ALLAH akan belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya supaya boleh hidup senang pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Mohd Amin, di sini, semalam.

Sementara itu, kakak tirinya, Norliza Fauzi, 28, berkata, meskipun mereka bertiga berlainan bapa, tetapi sebagai anak sulung dia terpaksa memikul tanggungjawab menyara kehidupan mereka dengan dibantu dua lagi adik-beradik kandung yang lain.

Menurutnya, walaupun agak terbeban dengan pendapatan suami yang tidak menentu sebagai mekanik, namun dia bersyukur kerana tiga beradik tirinya pandai membawa diri.

Jelasnya, mereka tidak pernah menyusahkannya sekeluarga kerana apa yang ada, apa yang dimakan itulah mereka makan.

“Sebelum ini pun, adik yang berumur 17 tahun bekerja separuh masa pada musim cuti sekolah, tapi tahun ini saya tak izinkan kerana suruh dia tumpukan pada SPM.

“Kalau boleh saya nak tengok mereka berjaya dalam pelajaran dan mencapai cita-cita supaya kehidupan mereka lebih senang pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) negeri, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya akan membawa tiga anak yatim berkenaan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengemukakan permohonan bantuan bulanan.

Menurutnya, pihaknya juga akan menyalurkan bantuan barangan keperluan asas bagi bulanan tiga bulan pertama untuk membantu meringankan beban ditanggung keluarga ini.

“Bermula bulan depan kami akan hantar barangan keperluan harian setiap bulan untuk tiga bulan pertama kepada mereka.

“Kita juga akan bawa tiga anak yatim itu ke JKM minggu depan, bagi memohon bantuan untuk mereka,” katanya.

Sumber : SH

Post a Comment

Previous Post Next Post