Zahra menangis apabila kritikan bertali arus ditujukan kepada keluarganya

Zahra menangis apabila kritikan bertali arus ditujukan kepada keluarganya

Walaupun sudah menduga pelbagai reaksi yang akan diterima daripada penyiaran video itu, pengkaji di Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) itu mengaku menangis apabila kritikan bertali arus ditujukan kepada keluarganya.

Zahra menangis apabila kritikan bertali arus ditujukan kepada keluarganya
Zahra menangis apabila kritikan bertali arus ditujukan kepada keluarganya
"Orang menyerang hidup peribadi saya, cakap Zahra ini merengek, serang keluarga saya, kata mereka tidak membesarkan anak dengan baik.

"Orang kata saya bercakap di atas (pentas) bagi mendapatkan perhatian sedangkan sebenarnya tidak.
"Jadi, benda ini sangat menyakitkan sedangkan saya buat ini untuk semua orang," kata Azzahra, atau Zahra, 23, dalam wawancara dengan The Malaysian Insider.

Zahra mula mencuri perhatian nasional apabila video ucapannya selama 6 minit di depan timbalan perdana menteri pada 16 Jun lalu disiarkan majikannya, MTEM di laman Facebook dan dikongsi dalam talian.

Dalam video itu, bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pontian dan MRSM Taiping ini menceritakan realiti kehidupan bekerja yang tidak seindah dibayangkannya sewaktu masih belajar.

Beliau antaranya menyebut tentang ketidakmampuan memiliki rumah bagi golongan muda, kesukaran membayar sewa rumah sebanyak RM500 sebulan serta kos sara hidup yang tinggi.

Video itu mengundang pelbagai reaksi - ada yang bersetuju dengannya dan tidak kurang juga mengkritik keras kenyataan beliau yang dilihat seperti tidak sabar mengecap kesenangan material walaupun baru 2 tahun menamatkan pengajian.

Beliau berkata, mereka yang mengkritiknya, terutama yang menganggap beliau ingin tinggal di rumah sewa dengan bayaran RM4,000 sebulan, tidak dapat menangkap mesej sebenar di sebalik penceritaannya.

"Maksud saya, rumah di Kuala Lumpur yang dekat dengan tempat kerja, kosnya mungkin RM500 seorang, saya tidak mampu.

"Jadi, saya cari rumah lain yang lebih murah tetapi terpaksa berkongsi dengan 8 orang. Sewanya, kalau dalam RM200 atau RM250 seorang itu, kira okay.

"Saya faham ramai yang nampak video itu macam merungut tapi mereka tidak nampak mesej di sebalik video itu," katanya.

Zahra berkata, beliau sebenarnya merangkumkan kisah dirinya yang kebetulan tepat dengan Laporan Sosioekonomi Melayu 2014.

Katanya, peluang berucap di depan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu digunakannya sebaik mungkin bagi menghantar mesej daripada laporan itu kepada pihak atasan negara.

"Dalam acara sedemikian kita tidak boleh ikut emosi. Kita tidak boleh lontarkan semuanya kepada beliau (Muhyiddin).

"Jadi, penceritaan itu untuk mendapat perhatian mereka yang di atas terhadap mesej kita," kata anak sulung daripada 3 adik beradik ini.

Beliau turut berkongsi kegembiraannya berucap di depan Muhyiddin dengan ibu bapanya yang menetap di Batu Kawan, Pulau Pinang.

"Mereka kata bagus, ini peluang berbuat sesuatu bagi bangsa kita," katanya yang satu masa dulu aktif bermain bola jaring dan menyertai kawad bomba sewaktu di MRSM.

Faktanya kini, kira-kira 25,000 rakyat Malaysia di bawah usia 35 tahun diisytiharkan muflis dalam 5 tahun lalu kerana gagal melunaskan hutang pinjaman kereta, rumah serta kad kredit.

Akta Kebankrapan 1967 menetapkan seseorang yang tidak berupaya atau gagal membayar hutang-hutangnya sekurang-kurangnya sebanyak RM30,000 boleh diisytiharkan muflis sekiranya ada petisyen berbuat demikian dikemukakan kepada mahkamah.

Pada masa sama, jurang kemiskinan yang semakin meluas di kalangan rakyat Malaysia amat membimbangkan.

Institut Penyelidikan Khazanah dalam kajiannya mendapati, kekayaan bertumpu kepada mereka yang sedia kaya sementara ketidaksamaan dalam pendapatan dan pemilikan hartanah pula semakin meningkat.

Sementara itu, antara kritikan yang dilemparkan terhadap Zahra sebelum ini adalah kenyataannya tentang mengahwini lelaki kaya sebagai jalan keluar daripada kesusahan hidup.

"Mungkin saya perlu kahwin lelaki kaya untuk keluar dari kemelut ekonomi ini. Kedengaran melucukan tetapi ia realiti. Belajar tinggi-tinggi tetapi akhirnya mengemis juga," kenyataan Zahra dari video kempen itu dipetik.

Siti Azzahra Abd Razly, yang menjadi terkenal dengan video 'Saya Zahra' berkata hanya berseloroh ketika bercakap mahu berkahwin lelaki kaya dalam klip video berkenaan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 21 Julai, 2015.Siti Azzahra Abd Razly, yang menjadi terkenal dengan video 'Saya Zahra' berkata hanya berseloroh ketika bercakap mahu berkahwin lelaki kaya dalam klip video berkenaan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 21 Julai, 2015.


Menjelaskan perkara ini, Zahra berkata:"Bahagian itu saya sebenarnya mahu berseloroh, ia sebahagian daripada penceritaan. Ia bukan bermakna betul-betul mahu kahwin dengan orang kaya.
"Saya cuma mahu berseloroh kerana mood pada masa itu pun tegang, sekurang-kurangnya orang akan ketawa sedikit," katanya.

Dalam video kempen itu, sebahagian hadirin, termasuk Muhyiddin kedengaran ketawa kecil mendengar bahagian ucapan tersebut.

Katanya, kisah yang diceritakannya itu kisah benar dan beliau masih menggunakan kereta MyVi ayahnya dan menyumbangkan RM500 sebulan sebagai "penghargaan" kepadanya.

"Orang ingat saya baru tamat pengajian sudah mahu beli kereta. Bukan begitu. Kereta itu ayah saya punya. Saya bayar dekat dia itu sebagai penghargaan padanya.

"Jadi sekarang saya pakai kereta dia, dia pakai motosikal saja. Sebelum ini saya tiada kereta, saya memang guna pengangkutan awam.

"Naik LRT, monorel, KTM (komuter) semua saya naik. Saya balik kampung pun, saya naik keretapi," katanya yang pulang ke Pulau Pinang memandu kereta ayahnya bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Kepada mereka yang berkongsi kisah mereka di laman Facebook 'Saya Zahra', gadis itu mempunyai mesej berikut "Saya ucapkan terima kasih kerana mereka menjadi inspirasi saya, bagi nasihat kepada saya."

Post a Comment

Previous Post Next Post