Siapa tak setuju keputusan Peguam Negara, sila rujuk Mahkamah Persekutuan

Siapa tak setuju keputusan Peguam Negara, sila rujuk Mahkamah Persekutuan

Siapa tak setuju keputusan Peguam Negara, sila rujuk Mahkamah Persekutuan

Siapa tak setuju keputusan Peguam Negara, sila rujuk Mahkamah Persekutuan
PEGUAM Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menunjukkan carta aliran wang SRC International ketika sidang media mengenai kes syarikat itu dan kes melibatkan dana RM2.6 bilion di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya. – Foto Mohd Fadli Hamzah
Sesiapa yang tidak setuju dengan keputusan Peguam Negara mengenai kes SRC International (SRC) dan dana RM2.6 bilion, boleh merujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan tafsiran keputusan itu.


Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, menegaskan mana-mana badan yang dibentuk bagi mempersoalkan sebarang keputusan Peguam Negara adalah bertentangan dengan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.



“Ini pendirian saya. Sesiapa yang tidak bersetuju, bebas mendapatkan tafsiran keputusan saya di Mahkamah Persekutuan,” katanya kepada BH melalui WhatsApp.

Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan menyebut, Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, badan itu akan membentangkan keputusan Peguam Negara mengenai kes SRC dan dana RM2.6 bilion kepada Panel Penilaian Operasi (PPO), bagi tujuan penilaian dan pertimbangan, selain dirujuk kepada satu lagi panel khas yang akan dilantik.



SPRM berkata, keputusan merujuk kepada PPO adalah prosedur yang diperuntukkan dalam mengurus kes sebelum mana-mana kes ditutup.

Justeru, tindakan merujuk kes Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada panel itu adalah satu proses biasa dan tidak sepatutnya ditafsir sebagai menolak keputusan yang diputuskan Peguam Negara.



Pada Selasa, Apandi pada satu sidang media, berkata Jabatan Peguam Negara berpuas hati bahawa tiada kesalahan dilakukan oleh Perdana Menteri berkaitan tiga kertas siasatan yang dikemukakan SPRM berhubung kes SRC dan dana RM2.6 bilion.



Berikutan itu, beliau sudah mengarahkan ketiga-tiga kertas siasatan berkenaan ditutup.

Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, meminta semua pihak, termasuk SPRM menghormati keputusan Peguam Negara mengenai kes berkenaan.

Katanya, keputusan itu patut dihormati semua pihak dan tidak membahaskannya terutama di dalam media sosial.

Beliau berkata, keputusan Peguam Negara dibuat setelah meneliti laporan yang dikemukakan daripada pelbagai sudut.

“Kuasa budi bicara yang diberikan kepada Peguam Negara mengikut Perkara 145 (3) adalah mutlak, tidak boleh dicabar atau digantikan oleh mana-mana kuasa, termasuk mahkamah.

“Jika mana-mana pihak tidak bersetuju dengan tindakan Peguam Negara dalam mengendalikan sesuatu pendakwaan, maka mereka tidak mempunyai asas untuk mencabarnya di mana-mana korum,” katanya dalam satu kenyataan.



Sumber: BH Online


BACA ARTIKEL PENUH DI SINI DAN DI SINI

Post a Comment

Previous Post Next Post